APAKAH PERANAN NORZA ZAKARIA DALAM INDUSTRI MINYAK & GAS SARAWAK DAN PETROS?

Gambaran bagi sektor minyak dan gas di Sarawak tidak lama lagi akan menjadi suram dan menyerupai industri balak di Sarawak sekarang. Sumber kayu balak Sarawak dikendalikan oleh Perbadanan Kemajuan Industri Kayu Sarawak (SITDC) di mana strateginya adalah menebang seberapa banyak hutan yang boleh untuk menghasilkan jumlah kayu paling banyak dalam masa yang paling singkat. Walau bagaimanapun, tanpa sebarang perancangan penanaman semula, tidak hairanlah eksport kayu kini jatuh merudum. Nilai eksport balak telah merosot dengan ketara sebanyak 23.5% daripada RM1.7 bilion pada suku pertama 2017 kepada RM1.3 bilion pada suku pertama 2018. Penurunan ini dijangka berterusan pada kadar ini sehinggalah tiada apa lagi yang tinggal untuk ditebang.

Pandangan sempit Sarawak yang hanya menebang pokok dan menjual kayu balak ke pasaran luar negara mencerminkan amalan kurang baik yang sama yang bakal diamalkan kerajaan negeri dalam menguruskan rizab minyak mentahnya. Rizab minyak dan gas Sarawak yang masih banyak merupakan hasil daripada langkah-langkah berhemat yang telah dilaksanakan untuk mengekalkan pengeluaran yang stabil sehingga kini. Sehingga akhir 2015, Sarawak memiliki 28.7% rizab minyak negara yang diketahui dan menyumbang 29.4% kepada pengeluaran negara. Untuk gas pula, Sarawak memiliki 52.7% rizab negara yang diketahui dan kira-kira 70% pengeluaran negara.

Keadaan ini boleh berubah kerana Sarawak berhasrat untuk meningkatkan pengeluaran demi memenuhkan tabung negeri untuk “projek-projek pembangunan.”

Petros, yang telah diamanahkan dengan sumber minyak dan gas Sarawak dibentuk mengikut entiti kerajaan negeri lain seperti SITDC.

Fungsi SITDC adalah lebih sebagai lanjutan perniagaan kerajaan. Pengerusinya, Awang Tengah adalah Timbalan Ketua Menteri Sarawak. Beliau mengetuai lembaga pengurusan yang dipenuhi dengan menteri-menteri muda dan pegawai awam kanan dalam jentera kerajaan negeri yang lebih cenderung untuk menerima perintah. Tanpa sebarang kepakaran dalam bidang pengurusan perhutanan, orang kedua berkuasa Sarawak dan para pengikutnya lebih banyak bergantung kepada pemain industri kayu untuk arah tuju.

Inilah cara tipikal kroni Barisan Nasional dan golongan elit politik-ekonomi yang telah mengaburi mata rakyat Sarawak selama beberapa dekad!

Begitu jugalah senarionya nanti dengan Petros, versi sektor minyak dan gas SITDC. Pengerusi Petros ialah Hamid Bugo, bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak. Ahli Lembaga Petros yang lain ialah Zuraimi bin Haji Sabki yang merupakan pengarah Jabatan Kerja Raya Sarawak. Petros berusia hampir 18 bulan dan tidak mempunyai rekod prestasi perniagaan dan perlu bergantung kepada rakan kongsi Brooke Dockyard and Engineering Works Corporation dan Upland Resources (yang turut memiliki kisah mereka yang tersendiri)

Brooke adalah badan berkanun kerajaan yang menyediakan kerja pemasangan dan pentauliahan platform penggerudian luar persisir, modul, dan templat bawah laut, manakala Upland Resource pula adalah syarikat minyak & gas huluan yang disenaraikan di Bursa Saham London dan hanya baru-baru ini sahaja mula bertapak di Sarawak.

Brooke diketuai oleh Pengerusinya, Abang Haji Abdul Karim yang merupakan abang kepada Abang Johari, Ketua Menteri dan juga Presiden Dewan Perniagaan dan Industri Sarawak (SCCI).

Upland Resource baru-baru ini telah melantik Bolhassan Di sebagai Pengerusi Bukan Eksekutifnya. Bolhassan Di merupakan ahli Dewan Undangan Negeri Sarawak dari tahun 1987 hingga 2011 dan kedudukan terakhir beliau dalam kerajaan ialah sebagai Timbalan Menteri di Kementerian Pembangunan Infrastruktur dan Komunikasi di bawah pentadbiran Taib Mahmud.

Beliau menggantikan Norza Zakaria (kroni Najib dan Rosmah dan presiden BAM dan OCM) pada Julai 2018 sebaik sahaja Brooke dan Upland menandatangani MOU untuk bersama-sama menilai, meneroka dan membangunkan hidrokarbon di Sarawak, Malaysia. Norza ialah pemegang saham terbesar di Upland. Beliau menyerahkan jawatan pengerusi itu kerana “konflik dengan peranannya sebagai pengerusi OCM yang baru disandang” semasa hari-hari terakhir Najib. Adakah ia juga kerana Uplands tidak akan mendapat sebarang kontrak sekiranya mereka mempunyai orang kuat BN dan orang kepercayaan Najib dan Rosmah sebagai pengerusi?

Manakala sebahagian besar entiti minyak negeri menjauhkan diri daripada melantik anggota pengurusan kanan dari sektor awam untuk melindungi kebebasannya, Petros, Brooke dan Upland pula masing-masing diketuai oleh bekas ahli politik dan penjawat awam. Abang Jo juga lebih terbukti sebagai ahli politik berbanding daripada seorang negarawan dengan mendakwa bahawa Petros bersedia untuk menguruskan industri Minyak & Gas negeri – tetapi sebenarnya bergantung kepada rakan kongsi luar untuk arah tuju dan pelaksanaan strategik. GPS hanya akan memungut ‘sewa’ ? samalah seperti yang dilakukan kerajaan BN sebelum ini.

Petros yang diam membisu tentang rancangan masa depannya mengundang pengkritik Petronas, Lina Soo, yang mengetuai Persatuan Aspirasi Masyarakat Sarawak (SAPA) untuk menuduh Petros sebagai sebuah organisasi yang mencurigakan yang terlibat dalam urusan di sebalik tabir yang  disembunyikan daripada rakyat Sarawak, malah menjejaskan kepentingan mereka. Orang Sarawak Mengkritik Orang Sarawak

Pertubuhan seperti Petros tidak dapat bersuara terhadap cara kerajaan negeri Sarawak menguruskan hal ehwalnya yang sebenarnya berada dalam tangan beberapa orang atasan yang terpilih. Petros, Brooke dan Upland akan kekal dengan cara lama bagaimana Sarawak menguruskan sumber asli negeri, sehinggalah tiba masanya pada satu hari nanti di mana telaga dan saluran minyak akan kering dan berhenti mengalir.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *